MASJID TANAH, 31 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin melancarkan Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah Imran Abdul Rahman dan Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah Nazri Ramli.

Ketika berucap di majlis pelancaran itu, Mas Ermieyati berkata tindakannya keluar UMNO bukan untuk mengejar jawatan, sebaliknya akibat kekangan untuk beliau memberikan perkhidmatan kepada anggota komuniti.

“Waktu itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang, saya tidak dapat berkhidmat dengan baik kerana dihalang masuk ke sekolah, menganjurkan program untuk komuniti dan seumpamanya.

“Saya mengambil keputusan menyertai BERSATU semata-mata untuk berkhidmat kepada masyarakat Masjid Tanah yang saya wakili sejak 2013,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan jentera pilihan raya BERSATU/PN supaya melakukan penambahbaikan pada gerak kerja berdasarkan iktibar yang diambil daripada kelemahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tindakan Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen keluar BERSATU semalam, tidak membabitkan ahli jawatankuasa dan sayap BERSATU Bahagian Tangga Batu.

Katanya, tindakan dan kenyataan Mohd Rafiq adalah bersifat peribadi dan sama sekali tidak menjejaskan persediaan BERSATU menghadapi PRU15.

Mengenai calon BN, beliau berkata, walau siapa pun sama ada calon ‘heavyweight’ atau sebaliknya yang bakal diumumkan, jentera BERSATU/PN harus bekerja kuat bagi mematahkan kempen pihak lawan.

Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon PN di kerusi berkenaan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Oktober lalu.