PETALING JAYA, 31 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menegaskan Tuhan jelas tidak mengizinkan bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Justeru itu, Abd Latiff berkata, adalah lebih baik individu seperti Mohd Rafiq tidak duduk dalam parti dan meninggalkan BERSATU.

“Kalau kita usaha nak jadi calon, ramai yang nak jadi calon. Ada orang tidak jumpa jalan keluar, tapi kalau dia berusaha, dulu jadi Exco pernah tanding dan kalah, usaha lagi nak tanding Parlimen, tidak dicalonkan.

“Mesti ada sebab, Tuhan tak jadikan dia calon, tengok kepada perkara yang positif,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis ‘Superb Winners Networking Day’, di sini, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Mersing itu mengulas tindakan Mohd Rafiq yang mengumumkan beliau meletakkan semua jawatan dalam BERSATU dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Rafiq berkata, tindakan itu diambil selepas beliau tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

“Beberapa hari lepas, saya telah dihubungi Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Timbalan Presiden BERSATU (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen Tangga Batu sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Parlimen Tangga Batu selama lebih enam tahun ini tidak diberi pertimbangan adil dan sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, semalam.