KUALA LUMPUR, 31 Okt – Perikatan Nasional (PN) menumpukan pengundi atas pagar iaitu dalam kalangan mereka yang pertama kali mengundi seperti golongan muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata, PN akan berjumpa dengan pengundi terutama pelajar kolej dan universiti.

“Kita cuba berjumpa seramai mungkin para pelajar ini sebelum mereka balik ke tempat undian masing-masing.

“Oleh kerana anak-anak muda sekarang ini sangat hebat dengan media sosial, jadi kita gunakan medium berkenaan secara meluas dan besar-besaran kepada semua pengundi (terutama) pengundi baharu untuk kita berkempen,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelasnya, antara tawaran yang dikemukakan adalah PN menolak rasuah dan mengutamakan aspek integriti.

Bagi menarik penyokong PN, Razali menambah, gabungan itu menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan dan perumahan di samping menumpukan kepada Majlis TVET Negara serta Majlis Pekerjaan Negara sebagai asas persediaan peluang pekerjaan.