KUALA LUMPUR, 31 Okt – Kementerian Luar Negeri sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Republik Korea, bagi memastikan kesahihan berkaitan dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban dalam insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, Korea Selatan, Sabtu lalu.

Jurucakap Wisma Putra berkata, setakat ini pihaknya sedang mengesan kesahihan dakwaan mengenai rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden ini seperti tular dalam media sosial.

“Perkembangan lanjut dakwaan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, tular dakwaan mengatakan seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu.

Dakwaan yang dimuat naik di media sosial itu mendakwa seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja di syarikat pembinaan turut maut dalam insiden berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699.

Sementara itu, seramai 19 daripada 153 yang terkorban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, manakala 82 lagi dilaporkan cedera.