SEPANG, 1 Nov – Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun, akan bertanding mewakili gabungan itu di kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengumuman dibuatnya itu menjawab pelbagai khabar angin mengenai perkara berkenaan sebelum ini.

“Malam ini sahih… ini (Rina) calon kita (PN) di Sepang,” katanya pada program Jelajah Prihatin PN Sepang di Dataran Sadiman, Bukit Changgang, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah; Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari; dan Ketua Bahagian BERSATU Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali.

Muhyiddin sekali gus meminta pengundi di Sepang untuk menyokong calon PN demi pembaharuan dan kesejahteraan negara.

Beliau berkata, kini sudah tiba masanya untuk pengundi membuat perubahan bersama Rina, yang juga Ketua Srikandi BERSATU Sepang.

Rina, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah calon ketiga diumumkan PN sebagai untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU15.

Selain Rina, dua calon sudah diumumkan parti masing-masing untuk berebut kerusi Parlimen itu ialah Ketua Pejuanita PEJUANG, Che Asmah Ibrahim; dan Ketua Wanita PH, Raj Munni Aiman Athirah.