KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang tidak terpilih menjadi calon gabungan parti itu, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinasihatkan supaya tidak ‘merajuk’ terlalu lama.

Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata mereka perlu kembali membantu jentera parti memenangkan PN sekali gus menumbangkan lawan, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Presiden GERAKAN berkata, mereka yang tidak terpilih bukan tidak layak sebaliknya tidak sesuai dengan agenda yang dibawa PN sekarang, bagi menempuhi PRU15.

“Pemimpin yang tidak terpilih pada PRU15 ini tidak bermaksud kamu tidak bagus, tak layak tetapi kurang sesuai untuk strategi PN yang menunjukkan peremajaan dan banyak faktor lagi nak dipertimbang semasa nak pilih calon.

“Memang ini penting dan ada yang tak terpilih memang kecewa, sedih dan marah. Kita menasihatkan jika sedih boleh sedih tetapi satu hari sahaja. Kena balik bantu PN.

“Calon kita tak boleh memang jika tak ada jentera. Oleh itu, saya minta 14 hari kita berkempen, jagalah keselamatan, kesihatan. Minum banyak air dan pastikan PN boleh menang. Ini bergantung kepada jentera kita sayangi,” katanya ketika berucap di majlis pengumuman calon PRU15 PN di sini, pada Selasa.

Yang turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.