KUALA LUMPUR, 2 Nov – Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menepis persepsi menggambarkan lawannya di Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai ‘orang kuat’.

Ahmad Faizal yang bakal mempertahankan kerusi Tambun dalam PRU14, yakin mampu memberi saingan sengit terhadap Anwar kerana yakin Presiden PKR itu hanyalah ‘orang biasa’.

“Pada anda mungkin dia (Anwar) orang kuat, tapi pada saya dia orang biasa,” katanya ringkas ketika ditanya peluangnya untuk menang bertemu Anwar yang disifatkan sebagai ‘orang kuat PH’.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penamaan Calon PN PRU15 di ibu negara, pada Selasa.

Sementara itu, mengulas papan iklan tertera gambar Ahmad Faizal dengan tulisan ‘Never Lost in Tambun’ (Tidak Pernah Kalah di Tambun), beliau menjelaskan papan iklan berkenaan dipasang di Tambun oleh rakannya.

Papan iklan itu dipasang pada jejambat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Jalan Tambun, sekali gus menghangatkan suasana kempen bagi kerusi Parlimen Tambun, khususnya menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

“Saya nak ucap terima kasih kepada mereka yang tolong menaikkan papan iklan itu. Ini (dilakukan) oleh rakan-rakan yang pandai juga bergurau.

“Saya yakin maksud di situ ialah saya tidak sesat di Tambun kerana saya dibesarkan di sana. Mungkin orang lain datang, hati-hati kerana ada banyak jalan kampung yang banyak belok, jadi mungkin boleh sesat.

“Tapi kalau sesat cari saya,” katanya yang yakin sudah menjalankan khidmat sebaik mungkin sepanjang lima tahun bergelar Ahli Parlimen Tambun.