KUALA LUMPUR, 2 Nov – Perikatan Nasional (PN) meletakkan empat calon di Sarawak dengan tiga daripadanya mewakili BERSATU dan seorang lagi calon PAS.

Daripada empat calon terbabit, dua ialah penyandang yang akan mempertahan kerusi yang dimenangi pada 2018.

Mereka ialah Datuk Ali Biju yang akan mempertahan kerusi Parlimen Saratok dan Jugah Muyang pula akan mempertahan kerusi Lubok Antu.

Seorang lagi calon BERSATU yang akan mewakili PN ialah Duke Janteng yang akan bertanding di Parlimen Bintulu, manakala calon PAS yang akan bertanding di Parlimen Batang Lupar, akan diumumkan kemudian.

Ali dalam kenyataan sejurus pengumuman senarai calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Muhyiddin untuk beliau membawa lambang PN di Sarawak pada PRU15.

Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli itu berkata, keputusan Muhyiddin yang meletakkannya bertanding sebagai PN di Saratok bukanlah satu isu.

“PN sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dengan GPS rakan kongsi kami.

“Sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, saya seronok berkhidmat untuk negara bersama rakan-rakan dari GPS,” katanya.