KUALA LUMPUR, 2 Nov – Rakyat mempunyai pilihan untuk memilih bakal Perdana Menteri yang berulang-alik ke mahkamah, berstatus banduan atau yang tegas menentang rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tempoh pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun dan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, sudah cukup untuk mengajar rakyat dalam membuat pilihan pada 19 November depan.

Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, rakyat perlu memilih parti yang mampu membina kepemimpinan negara yang bebas rasuah, tidak menyeleweng serta menolak amalan salah guna kuasa dalam PRU15.

“Takkan rakyat nak pilih Perdana Menteri yang ulang-alik mahkamah. Takkan rakyat nak pilih pemimpin yang terkenal sebagai banduan. Takkan rakyat nak pilih pemimpin yang tak tahu ke mana hala tuju negara nak dibawa.

“Cukuplah 60 tahun lebih kita dipimpin sebuah parti yang kita semua ketahui. Cukuplah 22 bulan mengajar kita. Kita dah tahu bagaimana pemerintahan BN dan PH.

“Rakyat sekarang menanti-nanti kepimpinan PN untuk menerajui negara pada masa depan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU15 di sini, pada Selasa.

Beliau berucap bagi mewakili Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tuan Ibrahim menegaskan rakyat perlu memilih nakhoda negara dalam kalangan tokoh kepimpinan yang bersih dan menentang rasuah, salah guna kuasa, kezaliman dan penyelewengan.

“Kita nobatkan (Pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tokoh kita untuk menerajui masa depan,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memberi amaran dan peringatan kepada pimpinan PN yang tidak terpilih sebagai calon PRU15 supaya tidak mengkhianati parti itu.

“Kita beri amaran kepada mana-mana yang tidak terpilih, kalau kamu khianat, kita akan hentam, serang dia habis-habisan. Pastikan tiada pengkhianatan dalam kalangan kita,” katanya, disambut sorakan ribuan jentera PN.