ALOR SETAR, 2 Nov – Kerajaan negeri menyokong penuh pemuliharaan dan pembangunan Terowong Komunis di Weng, Baling sebagai produk pelancongan sejarah.

Exco Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, kerajaan negeri telah beberapa kali berbincang untuk membangunkan terowong berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan.

Bagaimanapun, Mohd Firdaus memaklumkan, terdapat beberapa isu seperti keselamatan, kos dan pengurusan menyebabkan ia perlu dikaji semula.

“Ia memandangkan status Terowong Komunis ini terletak di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Kedah yang berada di kawasan kompartmen 29 Hutan Simpan Ulu Muda.

“Kawasan ini juga masih di bawah pemantauan pihak berkuasa berwajib, iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan faktor keselamatan dengan kedudukannya berada di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan Abd Nasir Idris (Bayu-Pas) berhubung status Terowong Komunis di Weng, Baling dan usaha kerajaan untuk memulihkan dan membangunkan lokasi itu supaya menjadi salah satu produk pelancongan yang utama di Baling.

Mohd Firdaus berkata, jarak terowong itu dan sempadan Thailand hanyalah dua kilometer (km), ia paling aktif digunakan sekitar tahun 1948 sehingga 1968 kerana faktor jarak dan laluannya yang strategik.

Sehubungan itu, Mohd Firdaus berkata, satu jawatankuasa penilaian dan pembangunan perlu dan akan ditubuhkan bagi meneliti beberapa aspek sebelum sesuatu tempat dibangunkan bagi merealisasikan impian tersebut.

“Ia perlu bagi melihat sejauh mana akan memberi impak kepada pembangunan kawasan sekitar,” katanya.

Menurut beliau, perancangan teliti juga perlu dilakukan disebabkan faktor keselamatan dan kos pembangunan serta pemuliharaannya yang tinggi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Firdaus berkata, pihaknya menyedari terowong itu akan dapat menambah variasi produk selain daripada ekopelancongan.

Antaranya, kata beliau, pelbagai aktiviti dapat dirancang memandangkan kawasan itu terkenal dengan aktiviti lasak serta keindahan alam flora dan faunanya.