KUALA LUMPUR, 2 Nov – Seramai tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Nama mereka diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU-15, pada Selasa.

Mereka terdiri daripada EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail; EXCO Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin.

Turut diumum adalah EXCO Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Ku Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak bakal bertanding di Parlimen Kubang Pasu.

Azman yang juga ADUN Lunas, akan bertanding di Parlimen Padang Serai, manakala Dr Robert adalah ADUN Sidam yang akan bertanding di Parlimen Sungai Petani.