ALOR SETAR, 2 Nov – PAS mendedahkan tidak dapat memilih Muafakat Nasional (MN) sebagai gabungan politiknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berikutan UMNO didakwa masih keruh dan mempunyai masalah dalaman.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya sudah berusaha mengajak semua pihak termasuk UMNO ke arah perpaduan ummah membabitkan umat Islam dan bukan Islam demi perpaduan di negara ini.

Jelasnya, usaha itu pada awalnya berjaya apabila dapat mengumpulkan Ahli Parlimen yang cukup bagi mengambil alih negara secara demokrasi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Tiba-tiba perangai lama UMNO jadi lagi, berkelahi sesama sendiri nak jadi Perdana Menteri, nak kementerian, nak jawatan. Setelah kalah (PRU14) mereka tak insaf, bukan semua tak insaf, ada (Ahli Parlimen) yang insaf dan nak buat perubahan.

“Kita ajak mereka (UMNO) kepada perpaduan ummah bersama BERSATU, GERAKAN dan parti lain. Tiba-tiba mereka minta hanya UMNO dan PAS sahaja (dalam Muafakat Nasional).

“Kalau UMNO dan PAS sahaja itu bukan perpaduan, tapi itu tujuan politik. Akhirnya mereka buat tindakan nak jatuhkan kerajaan, jumpa dengan (Ahli Parlimen) PH, tapi tak semua Ahli Parlimen UMNO setuju,” katanya pada Ceramah Perdana PRU15 di Markas PAS Pokok Sena di sini, pada Selasa.

Majlis turut dihadiri Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yahaya dan Yang Dipertua PAS Pokok Sena, Datuk Wan Romani Wan Salim.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, tindakan UMNO itu dilihat sebenarnya bukan mahu membantu menyelesaikan masalah rakyat, tetapi mahu menyelesaikan masalah dihadapi pemimpin tertentu yang mempunyai kes mahkamah.

“Yang terakhir selepas Parlimen dibubarkan, mereka ajak jumpa. Maka saya dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pergi berjumpa, mereka letak syarat PAS boleh bersama UMNO sekiranya kita putuskan hubungan bersama parti lain terutama BERSATU.

“Minta PAS buat keputusan segera, mereka perintah (arah) kita. Kemudian cakap pula beberapa kerusi PAS di Kelantan, Terengganu dan Pahang minta diberi kepada UMNO. Mereka cuba jadi tukang atur kita.

“Disebabkan itu kita pilih PN bukan Muafakat Nasional (MN) kerana dalam UMNO masih ada yang keruh, yang rasuah, yang masih dibicara. Kita tahu ada yang bersih dalam UMNO, tapi mereka dicantas tak jadi calon, yang penyangak jadi calon,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Hadi menegaskan, PAS tidak dapat melakukan kerjasama dan berkawan bersama parti bermasalah membuatkannya memilih PN sebagai gabungan pada PRU15.