HULU TERENGGANU, 3 Nov – Pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Hulu Terengganu tidak menggusarkan calon Perikatan Nasional (PN).

Penyandang Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau yakin rakyat di Parlimen itu bijak membuat pilihan.

“Secara politiknya bila masuk bertanding, memang ada sedikit kerisauan tapi insya-ALLAH berdasarkan perkhidmatan yang kita buat sejak menjadi ahli Parlimen bermula 1999 di Hulu Terengganu, tidaklah menjadi satu perkara yang berat.

“Saya yakin pengundi-pengundi di Hulu Terengganu ini matang. Orang Hulu Terengganu tahu memilih antara batu dan permata,” kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu itu ketika sidang akhbar pada Khamis.

Terkini, terdapat seorang lagi calon di Parlimen Hulu Terengganu yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA), iaitu Mohd Khadri Abdullah.

Ia menjadikan perebutan kerusi itu melibatkan empat komponen parti seperti PN (Rosol), BN (Datuk Rozi Mamat), Parti Keadilan Rakyat, Alias Ismail dan GTA (Mohd Khodri).

Berbeza pada PRU14, Parlimen Hulu Terengganu hanya menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, PAS dan BERSATU.