KUALA LUMPUR, 3 Nov – Perikatan Nasional (PN) berhasrat melihat Malaysia dikemudi barisan kepemimpinan yang bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Sehubungan itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, semua calon PN sudah menyatakan komitmen menerusi ‘Aku Janji Integriti Calon’.

“Perjuangan saya melawan rasuah ini sudah dibuktikan melalui sejarah panjang saya. Saya dibuang daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana saya berjuang melawan golongan yang menyalahgunakan kuasa demi poket sendiri.

“Menjadi impian saya melihat Malaysia dikemudi oleh barisan kepimpinan yang bebas daripada jenayah rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa. Insya-Allah kami di Perikatan Nasional komited untuk menawarkan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya di Facebook hari ini.

PN sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

BERSATU akan bertanding di 74 kerusi, PAS (64), GERAKAN (20) dan kumpulan bersekutu bertanding di 11 kerusi.

Bagi kerusi DUN di Pahang, Perak dan Perlis, PAS akan bertanding di 57 kerusi, BERSATU (41), Gerakan (14) dan kumpulan bersekutu empat kerusi.