KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) baharu yang dinaikkan akan mula dilaksanakan pada 6 November ini, umum Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyifatkan langkah menaikkan kadar baharu tersebut adalah penting memandangkan situasi keadaan ekonomi rakyat yang juga meningkat, malah beliau tekad untuk terus membela nasib murid yang memerlukan.

“Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara. Ini merupakan antara komitmen saya dalam memastikan kualiti makanan RMT kepada murid yang memerlukan adalah terjaga,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dengan pengumuman tersebut, kadar RMT bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung Malaysia dan RM3.00 kepada RM4.00 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Radzi dalam pada itu juga berharap kadar baharu itu akan memberi sedikit kelegaan kepada pengusaha kantin yang berdepan dengan kenaikkan kos harga barang.

“Pelaksanaan kadar baharu ini juga pastinya memberi kelegaan kepada pengusaha kantin sekolah yang menyediakan RMT.

“KPM komited melakukan yang terbaik untuk kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya lagi.