KOTA BHARU, 3 Nov – Peratusan keluar undi yang rendah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh membahayakan Perikatan Nasional (PN) yang bermatlamat meneraju kerajaan baharu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata justeru rakyat perlu keluar mengundi, selain menekankan golongan muda serta perantau untuk pulang dan melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Katanya, anak muda perlu mengundi PAS atau BERSATU di Kelantan supaya PN boleh menang.

“Kalau nak jelas hala tuju negara, bina negara yang stabil, keadilan yang sama antara kaum, kemajuan ekonomi dan semangat bermuafakat, maka rakyat perlu memenangkan PN.

“Insya-Allah, dengan kemenangan itu kita dapat bina sebuah negara yang hebat. Tambahan pula, kemenangan kita untuk mendaulatkan agama selain Islam menuntut untuk berlaku adil pada semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PN Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Pada majlis sama, Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pengundi dalam kalangan anak muda di Kelantan sangat ramai iaitu 59 peratus, sekali gus menjadi aset penentu masa depan bukan sahaja untuk kejayaan PN di Kelantan tetapi seluruh negara.

“Insya-Allah di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, dapat menjanjikan kepemimpinan cemerlang dan ia tawaran terbaik khusus buat anak muda.

“Saya sendiri pernah jadi menteri. Kerajaan kita cukup duit untuk diberi kepada Kelantan, namun masalahnya adalah pada pentadbiran di Putrajaya yang tidak amanah dan jujur.

“Justeru, marilah kita mengundi PN yang mana terdiri daripada kalangan ulama dan ahli politik yang bebas rekod rasuah,” katanya.