KOTA BHARU, 2 Nov – Pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan yang diumumkan malam ini menyaksikan PN menampilkan enam muka baharu.

Daripada jumlah itu, empat muka baharu adalah daripada BERSATU manakala dua lagi daripada PAS.

Pada masa sama, pengumuman itu turut memaklumkan PAS bertanding di sembilan kerusi, manakala BERSATU di lima kerusi.

PAS meletakkan calon mereka di Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), Parlimen Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari), Parlimen Rantau Panjang (Datuk Zailah Mohd Yusuff), Pengkalan Chepa (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) dan Tumpat (Datuk Mumtaz Md Nawi).

Selain itu, Parlimen Bachok (Muhamad Syahir Che Sulaiman), Parlimen Kuala Krai (Abdul Latif Abdul Rahman) dan Pasir Puteh (Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh).

BERSATU pula mendapat lima kerusi iaitu di Parlimen Gua Musang (Datuk Mohd Azizi Abu Naim), Parlimen Ketereh (Datuk Khlir Mohd Nor), Parlimen Jeli (Zahari Kechik), Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) dan Parlimen Tanah Merah (Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz).

Nama-nama calon PRU15 bagi PN diumumkan oleh Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.