IPOH, 3 Nov – Perikatan Nasional (PN) belum menentukan calon Menteri Besar Perak jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pucuk kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

“Kita tidak pernah bincang lagi soal itu (calon Menteri Besar) tapi saya yakin kepimpinan akan membuat keputusan. Kita ada perancangan dari segi manifesto dan sebagainya.

“Saya ingat, selepas sahaja selesai proses penamaan calon akan ada proses atau pengumuman-pengumuman yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi di peringkat negeri sama ada tentang Menteri Besar atau manifesto,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada pengumuman calon PN Perak di Pejabat PN Perak pada Khamis.

Beliau mengulas demikian berikutan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menamakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) di Perak.

Zainal Azman yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.

BN juga turut menamakan semula penyandang kerusi DUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar sekiranya parti itu menang pada PRU15.

Dalam perkembangan berlainan, Zainol Fadzi berkata, PN menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi 30 kerusi daripada 59 kerusi DUN di negeri ini.

Tambah beliau, pihaknya telah melengkapkan senarai calon mereka untuk bertanding di semua kerusi.

“Sudah tentu kita menyasarkan semaksimum mungkin kerusi. Kita sedang berusaha untuk memastikan semua kerusi-kerusi yang ditandingi ini menang tidak kiralah di peringkat Parlimen atau DUN.

“Kita mahu jumlah yang cukup untuk mentabir negeri sekurang-kurangnya 30 kerusi. Kita juga mahu menjadi antara negeri penyumbang untuk kerusi Parlimen bagi pembentukan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.