HULU TERENGGANU, 3 Nov – Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Rosol Wahid diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara tersebut ketika berucap dalam Program Jelajah Prihatin PN Hulu Terengganu dan Pelancaran Jentera PRU-15 PN Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, malam tadi.

“Saya nak tengok di Hulu Terengganu PN diisytihar menang, calon yang bertanding tidak lain tidak bukan adalah saudara Rosol Wahid untuk kawasan Hulu Terengganu.

“Sepatutnya esok akan diisytihar (calon PN Terengganu) tapi kerana dia calon BERSATU biar saya isytihar beliau adalah calon PN di kawasan Hulu Terengganu,” katanya yang juga Presiden BERSATU.

Seramai 3,000 penyokong PN hadir pada majlis itu termasuk Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris dan Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).