ALOR SETAR, 3 Nov – Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan satu muslihat antara UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Menurutnya, UMNO akan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi laluan kemenangan besar kepada PH dalam pilihan raya ini.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 ini.

Beliau juga mendakwa bahawa objektif akhir pelan bijak itu adalah untuk menyelamatkan mereka, khususnya pemimpin BN, yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

“Kita difahamkan ada gerakan untuk meminimumkan kemenangan UMNOI bagi memberi laluan kepada PH meraih kemenangan lebih besar. Ini bagi memudahkan rancangan (BN) bergabung dengan PH selepas PRU-15.

“Ini kerana ramai pemimpin dalam UMNO tidak bersetuju dengan rancangan untuk bekerjasama dengan PH.

“Sehingga hari ini PH gagal menarik UMNO ke dalam khemah besar, namun tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas adalah ketika menggulingkan kerajaan PN di peringkat Pusat dan Perak.

“Sebab itu wujud pakatan untuk menaikkan pemimpin (UMNO) yang bersetuju bergabung dengan PH bertujuan membebaskan diri (daripada pendakwaan), bukan untuk menyelamatkan rakyat,” kata Hadi selepas menghadiri perhimpunan memperkenalkan calon PN Kedah di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Pengerusi PN negeri.

Hadi berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO menggugurkan pemimpin UMNO yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti daripada diletakkan sebagai calon PRU-15.