KUANTAN, 4 Nov – Kementerian Luar Negeri berjaya membawa pulang 35 lagi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja ke negara ini pada Khamis.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi dua kumpulan.

Menurutnya, kumpulan pertama seramai 28 orang tiba di KLIA pada jam 2 petang dengan menaiki penerbangan MH755, manakala tujuh lagi melalui AK539 di KLIA2 pada jam 5.35 petang.

“Ini adalah kejayaan terbesar Kementerian Luar yang membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tersebut melalui Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Phnom Penh.

“Setakat Khamis, daripada 220 kes jenayah penipuan penawaran pekerjaan di negara itu yang dilaporkan, kesemua mangsa telah berjaya dibawa pulang. Setakat ini, tiada mangsa yang berada di dalam depoh tahanan imigresen negara itu.

“Justeru, kita akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia membantu mangsa apabila dilaporkan dan memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand akan menggiatkan usaha untuk mengesan serta menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket di negara-negara berkenaan.

Jelasnya, daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima, seramai 324 orang berjaya diselamatkan termasuk 20 orang yang berada di dalam depoh tahanan imigresen di ketiga-tiga negara tersebut.

“Kita masih giat mengesan seramai 135 lagi yang dilaporkan sebagai mangsa melalui kerjasama ketiga-tiga negara tersebut,” tambah Saifuddin.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan warganegara Malaysia supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara yang diterima, terutamanya melalui platform media sosial.

Saifuddin menambah, mereka boleh berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di negara yang berkenaan sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung tawaran kerja.

“Mereka juga dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia dan kementerian sekiranya ada di antara ahli keluarga yang terjebak dalam sindiket tersebut untuk bantuan sewajarnya,” katanya.

Selain itu, Saifuddin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja yang sentiasa memberikan bantuan dan kerjasama terbaik bagi membolehkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini dibawa pulang ke tanah air.