MARANG, 4 Nov – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada beberapa lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menunjukkan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Beliau yang juga Presiden PAS berkata ketika ini, mereka sedang dalam proses untuk dinamakan dan kemungkinan akan diketahui pada Hari Penamaan, Sabtu ini.

“Ada lagi pemimpin (BN), namun sedang dalam proses. Berapa kerusi tak boleh sebut lagi.

“Yang penting ada di utara, tengah dan selatan. Nantilah tunggu nama calon hari Sabtu (penamaan calon),” katanya dalam sidang media ketika Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu (PRU15) di Marang, pada Khamis.

Sebelum ini, beberapa pemimpin yang digugurkan pencalonan mewakili BN pada PRU15 menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan kerusi Parlimen dimenangi tanpa menggunakan tiket BN.

Beberapa Penyandang Parlimen yang menang atas tiket BN pada PRU14 lalu kini sah bakal bertanding atas tiket PN antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran).