KUANTAN, 4 Nov – Perikatan Nasional (PN) Pahang mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mengecam tindakan parti PN yang menerima mantan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib sebagai calon kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun PN sangat terbuka dalam perkara ini berbanding UMNO yang membuang pemimpin dengan mudah apabila mereka tidak sehaluan.

“Ada pihak-pihak tertentu kalau ada orang masuk parti politik dia (parti lawan) boleh.

“Tapi kalau masuk parti kami (PN), kami pula dipersalahkan. Jadi dalam perkara ini harus berlaku adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Jumaat.

Pada malam Khamis, Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ismail bertanding di Parlimen Maran dalam satu Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila di Terengganu.

Ismail yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut digugurkan daripada barisan calon BN yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dua hari lalu.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Maran selama empat penggal bermula 2004 dan dalam tsunami politik PRU14 lalu beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 undi.

Beliau menjelaskan, Pas juga tidak pernah bergaduh dengan UMNO dan kedua-dua parti itu masih dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya, BERSATU juga ada menerima undangan UMNO dan Pas dalam MN.

“Ismail adalah sahabat kami, jadi kami harap kemasukan ke dalam PN dilihat dari sudut yang sedemikian (hubungan baik). Ini adalah sesuatu pertukaran parti,” jelas beliau.

Saifuddin berkata, gandingan antara Ismail dan tiga lagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sangat baik dan mantap.

“Kita yakin gandingan ini akan memberi keyakinan untuk PN menang di kawasan terbabit,” jelas beliau.

Selain itu, Saifuddin turut mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM1.16 juta.

Jelasnya, pengisytiharan harta itu dibuat menerusi borang pengisytiharan harta sebagai calon Ahli Parlimen Indera Mahkota.

“Pengisytiharan itu adalah sebagai usaha untuk membuktikan keikhlasan dan kita memang benar-benar berpegang untuk mendirikan sebuah kerajaan yang bersih dan kerajaan yang berintegriti.

“Saya harap para pengundi dapat menilai keikhlasan saya dan kesediaan saya untuk setulus mungkin secara telus menawarkan diri sebagai calon,” tambah beliau.