KUALA LUMPUR, 4 Nov – Pendapatan rendah dan isu ekonomi antara faktor utama menjadikan Selangor berada pada kedudukan terendah dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan indeks kebahagiaan di Selangor iaitu 5.74 peratus berbanding indeks nasional 6.48 peratus.

“Indeks paling tinggi direkodkan di Labuan iaitu 9.29 peratus diikuti Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan Selangor paling bawah. Apa yang paling rendah kalau ikut komponennya adalah pendapatan dan ekonomi.

“Sebab itulah hari ini kita bawakan program KASIH@SMILE di kawasan komuniti Putra Perdana, Puchong bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada usahawan kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), selain program sokongan lain seperti Wanita Bangkit yang menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program KASIH@SMILE di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong dekat sini pada Khamis.

Rina berkata usaha mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan keluarga merupakan tanggungjawab bersama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan mahupun setiap individu dalam keluarga.

Pada majlis itu, Rina turut menyumbangkan 1,000 topi keledar kepada kanak-kanak yang memerlukan di komuniti itu.

Program KASIH@SMILE diadakan sempena Bulan Keluarga Malaysia yang disambut pada November bertemakan ‘Kasih Keluarga Malaysia’.

Pelbagai aktiviti disusun seperti bual bicara yang menampilkan personaliti dan pakar kekeluargaan; pameran dan perkhidmatan di bawah KPWKM; program e-sukan dan aktiviti sukan indoor; serta program kerohanian Maulid Akhbar yang akan dikendalikan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air.