KANGAR, 4 Nov – Pakatan Nasional (PN) Perlis menyasarkan sekurang-kurangnya menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Perlis ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh.

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kemenangan kerusi DUN yang ‘solid’ akan memudahkan gabungan parti itu untuk merancang dan melaksanakan semua manifesto jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

Banyak kajian dibuat mendapati tiada parti yang boleh berdikari selepas pilihan raya ini. Kita akan tunggu keputusan pusat, sama ada terdapat keperluan untuk penyatuan (kerajaan campuran) mentadbir Perlis.

“Secara peribadi, seboleh-bolehnya tidak mahu dengan PH (Pakatan Harapan). Kita harap rakyat dapat memberi sokongan kepada PN untuk mentadbir negeri,” katanya selepas Majlis Perisytiharan Calon PRU15 Peringkat Nasional Negeri Perlis, pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri menafikan kekosongan dua kerusi DUN Kayang dan Sena mempunyai kaitan dengan penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Saya ada berjumpa dengan beliau tetapi kami tiada apa-apa rundingan dengan Zahidi,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd Shukri mengumumkan 16 calon PN pada PRU15 dan dua lagi akan diumumkan pada Jumaat.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan Datuk Seri Shahidan Kasim akan bertanding kerusi Parlimen Arau menggunakan tiket PN.