KANGAR, 4 Nov – Perikatan Nasional (PN) Perlis hari ini mengumumkan dua lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus melengkapkan senarai 15 calon, selepas 13 calon diumumkan, malam tadi.

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata dua calon berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa Wanita PN Perlis, Datin Marzita Mansor yang akan bertanding di DUN Sena atas tiket BERSATU dan Ketua Pemuda PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil bagi DUN Kayang.

Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, Mohd Shukri berharap segala spekulasi yang timbul, dapat dihentikan dan tumpuan kini bagi memenangi PRU15.

“Mudah-mudahan kami dapat terus bergerak untuk memastikan PN dapat menawan negeri Perlis pada PRU15 ini,” katanya.

Malam tadi, Mohd Shukri mengumumkan senarai 13 calon PN bagi DUN Perlis dengan lapan akan ditandingi calon PAS dan lima daripada BERSATU. Perlis mempunyai 15 kerusi DUN.