KUALA LUMPUR, 4 Nov – Perikatan Nasional (PN) muncul di tangga kedua dalam meraih undi Melayu berikutan kemerosotan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN), menurut tinjauan pra pilihan raya Merdeka Center.

Tinjauan yang dijalankan dari 19 hingga 28 Oktober lalu terhadap 1,209 pengundi berusia 18 tahun ke atas, mendapati BN menerima sokongan Melayu sebanyak 32%, diikuti PN (20%), Pakatan Harapan (PH) (13%), sementara Gerakan Tanah Air (GTA) dan gabungan lain sebanyak 2%.

Sebanyak 29% responden berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti, manakala 4% tidak memberikan maklum balas, lapor Malaysianow.

Merdeka Center berkata, penemuan itu menunjukkan wujud penurunan dalam kecenderungan yang jelas dalam kalangan pengundi Melayu terhadap BN dan peningkatan kecil terhadap PH.

“Namun pada masa sama, masih terdapat sebanyak 29% pengundi Melayu yang menyatakan mereka tidak mempunyai kecenderungan atau masih belum membuat keputusan,” katanya.

“Ada kemungkinan sebahagian daripada pengundi yang belum membuat keputusan ini mengundi parti kerajaan, namun pengalaman lalu memberitahu kita bahawa majoriti daripada mereka ini berkemungkinan akan mengundi mana-mana parti lawan, sama ada PN atau PH.”

Dalam kalangan pengundi India, 32% menunjukkan mereka akan memberi sokongan kepada BN, sementara 1% lagi menyatakan sokongan kepada PN, dan 51% lagi menyatakan sokongan kepada PH.

Sementara 6% lagi tidak pasti dan 2% berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti manakala 8% lagi tidak memberikan maklum balas.

Dalam kalangan pengundi Cina pula, tinjauan mendapati sokongan kepada BN adalah sebanyak 5%, PN (1%), PH (47%) dan GTA (1%).

Sebanyak 23% lagi mengatakan mereka tidak pasti dan 18% berkata mereka tiada kecenderungan dan 3% lagi enggan memberi maklum balas.

Merentasi beberapa kumpulan umur, pengundi dalam kumpulan usia 18 hingga 20 tahun menunjukkan 28% daripada responden menyokong BN, PN (24%) dan PH (30%).

Sebanyak 10% lagi berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan menyokong mana-mana parti.

Bagi kumpulan umur 21 hingga 40 tahun, tinjauan menunjukkan BN mendapat sokongan sebanyak 21%, PN (14%) dan PH (26%).

Bagi kumpulan pengundi berusia melebihi 40 tahun menyatakan sokongan kepada BN sebanyak 27%, PN (10%) dan PH (24%).