KUALA LUMPUR, 5 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Kamarudin Jaffar bertekad memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri dalam usaha mempertahan kemenangannya di Parlimen Bandar Tun Razak, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau akan bertemu dua lagi pesaingnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Chew Yin Kin bagi meraih sokongan 119,185 pemilih berdaftar di situ.

Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri juga bersyukur kerana terpilih sebagai calon dan berharap PN mampu meraih mandat baharu di Parlimen Bandar Tun Razak, selain beriltizam meneruskan komitmen serta khidmatnya di kerusi berkenaan.

“Saya sudah jangka akan berlaku pertembungan tiga penjuru di sini dan melihat ia akan memberi kesan positif kepada saya sebagai calon PN di Bandar Tun Razak.

“Ini antara lain memberi peluang kepada pengundi untuk membuat pilihan terbaik, berdasarkan rekod dan perkhidmatan setiap calon yang bertanding.

“Saya yakin pengundi di sini faham dan maklum mengenai semua gerak kerja dan khidmat diberikan kepada penduduk Bandar Tun Razak, sepanjang penggal yang lalu,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di sini, hari ini.