PAGOH, 5 Nov – Ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan wanita adalah antara yang akan dititikberatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka dilancarkan di Kuala Lumpur, esok.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata gabungan itu kini sedang memperincikan semua perkara disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat, manakala aspek lain yang akan dilihat ialah isu sosial, alam sekitar dan lain-lain perkara.

“Saya mahu menyatakan kami tidak mahu berjanji. Kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

“Ini akan kami maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” katanya selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, di sini, hari ini.

Mengakui pernah dinasihati untuk berpindah ke kawasan Parlimen lain, penyandang kerusi Pagoh itu enggan berbuat demikian dan menyatakan ini kali ke-11 beliau bertanding di kerusi itu sejak 1978 dan gelanggang terakhirnya dalam PRU.

“Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

“Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya setiap kali pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, PN yang dipimpinnya turut menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat.

Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Iskandar Shah Abdul Rahman.

Terdahulu, pemimpin PN kelahiran Muar itu menjadi calon pertama menghantar borang pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Iskandar Shah, lima minit kemudian dan Razali pada jam 9.12 pagi.

Kira-kira 1,000 penyokong parti bertanding berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak jam 9 pagi.