KUANTAN, 5 Nov – Kerusi Parlimen Indera Mahkota yang disandang Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Saifuddin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dicabar Datuk Quek Tai Seong daripada Barisan Nasional (BN), Zuraidi Ismail (Pakatan Harapan – PH) dan Dr Mohamad Nor Sundari (PEJUANG).

Pengumuman rasmi senarai calon itu dibuat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fadzilla Salleh di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Kira-kira 2,000 penyokong parti yang bertanding berkumpul sejak jam 7 pagi.

Sementara itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Indera Mahkota pula menyaksikan pertandingan lima penjuru di Beserah dan empat penjuru di Semambu.

Kerusi DUN Beserah menyaksikan penyandangnya, Andansura Rabu dari PN dicabar Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid (BN), Zulkifli Mohamed (PH), Mohd Fauzi Taib (PEJUANG) dan Tan Siang Yew (Bebas).

Bagi kerusi DUN Semambu pula menyaksikan pertandingan antara Khairul Hisham Omar (BN), Chan Chun Kuang (PH), Zulfadhli Zakariah (PN) dan Dr Rashidah Abdul Rahman (PEJUANG).