MASJID TANAH, 5 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, mengakui kemampuan calon lawan terutama daripada Barisan Nasional (BN), namun berjanji berjuang habis-habisan untuk mempertahankannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Memang saya memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU14 atas tiket BN, dan sekarang saya bersama jentera Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi calon BN.

“Saya yakin, berkat perkhidmatan yang saya berikan selama menjadi wakil rakyat di kawasan ini sejak 2013, insya-Allah pengundi bijak membuat penilaian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru di kerusi Parlimen itu pada PRU15 yang turut ditandingi Abdul Hakim Abdul Wahid daripada BN, Mutalib Uthman (PH-MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).

Mas Ermieyati berkata, beliau meraikan persaingan itu yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi berparlimen di negara ini.

Justeru, beliau meminta jentera PN supaya terus bekerja keras bagi memastikan gabungan itu meraih kepercayaan pengundi.