MELAKA, 5 Nov – Tindakan keluar parti oleh sebahagian kepimpinan bahagian dan cawangan BERSATU Bahagian Jasin, tidak menggugat perjalanan kempen parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyifatkan isu keluar parti adalah perkara biasa dan pihaknya tidak menghiraukan serangan yang dibuat.

“Kita dalam suasana perang, jadi akan ada banyak strategi oleh pihak lawan. Kami percaya ini juga adalah antaranya, selain kehendak peribadi.

“Kami sebagai ahli BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) terus komited, tidak hirau apa juga serangan dibuat dan ia tidak menggugat perjalanan jentera untuk memenangkan calon PN,” katanya pada sidang media di Kota Fesyen di sini, petang ini.

Terdahulu, media melaporkan BERSATU Bahagian Jasin didakwa lumpuh apabila sebahagian besar kepemimpinan bahagian dan cawangan parti itu mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa hari ini.

Dr Mohd Yadzil yang juga Pengerusi PN Melaka, mendakwa ada beberapa fakta yang diutarakan oleh Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Jasin, Azalina Abdul Rahman, itu sebagai tidak tepat.

“Kalau ikut apa dicakapkan banyak fakta bercanggah jadi saya tidak yakin apa yang dicakapkan itu menunjukkan apa sebenarnya.

“Ikut perlembagaan pun tiada istilah terkubur, jentera terus bergerak. Pemimpin keluar silih berganti siapa hendak teruskan perjuangan silakan. Siapa tidak mampu ikut arus yang ditetapkan kami tidak halang,” katanya.