SUNGAI BULOH, 6 Nov – Mohd Ghazali Md Hamin, calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sungai Buloh mengakui sentimen anak tempatan tidak lagi penting dalam memilih wakil rakyat.

Meskipun merupakan anak tempatan di kawasan itu, namun beliau lebih terbuka dalam mengutarakan pendirian berkenaan pemilihan wakil rakyat.

Beliau berpandangan, semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu bersaing secara sihat dan membuktikan kemampuan masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pandangan itu betul kerana ini peringkat Parlimen, bukan DUN. Tapi yalah, kita bersaing secara sihat dan cuba sebaik mungkin.

“Insya Allah saya akan memberi perkhidmatan saya dengan kelulusan dan pengalaman kerja saya. Insya Allah, saya dapat membantu penduduk Sungai Buloh menyuarakan suara mereka di Parlimen,” katanya sewaktu ditemui ketika Program Hit & Run di Seksyen 8, Kota Damansara.

Pagi tadi, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen tersebut, Khairy Jamaluddin berkata, isu bukan anak tempatan bukan isu besar berbanding kemampuan wakil rakyat memberikan perkhidmatan terbaik.

Mengulas lanjut, Mohd Ghazali, 60, nekad untuk membawa isu kemiskinan bandar di Sungai Buloh ke Parlimen sekiranya diberi peluang.

Jelas calon daripada Pas itu, isu berkenaan antara masalah utama pengundi di kawasan ini yang perlu ditangani supaya masyarakat setempat tidak terbeban dengan dilema kos sara hidup dalam tempoh masa yang panjang.

“Di sini memang nampak bangunan tinggi-tinggi, cantik-cantik tapi sebenarnya di sini isu kemiskinan bandar perlu ditangani.

“Sebelum pilihan raya ini saya bergiat dengan isu masyarakat jadi Ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Kota Damansara bahagian Lajnah Kebajikan, jadi kami sentiasa berjumpa dengan asnaf-asnaf di Kota Damansara.

”Saya juga bergiat dengan Pertubuhan Dapur Rakyat Subang sebagai Pengerusi yang skopnya lebih luas di Sungai Buloh ini. Jadi itulah yang kita nampak,” menurut beliau.