GOMBAK, 6 Nov – Perikatan Nasional (PN) memberi fokus kepada kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tidak membincangkan memgenai pembentukan kerajaan campuran.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kempen 14 hari digunakan sebaiknya untuk turun meyakinkan pengundi.

Menurutnya, tiada perbincangan rasmi dibuat untuk bergabung dengan mana-mana parti membentuk kerajaan buat masa ini.

“Fokus kita adalah untuk menang di setiap kawasan PN wakili dan kita gunakan ruang (kempen) ini untuk yakinkan rakyat.

“Kita jelaskan kepada mereka tentang dasar-dasar yang dibawa PN yang pro perniagaan,mencipta pekerjaan serta menjamin kepedulian kepada rakyat,” katanya ditemui pada program di Kampung Kemensah di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya BN gagal mendapat majoriti mudah seperti dilapor sebuah akhbar Inggeris pada Jumaat.

Menerusi laporan itu, Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk bersedia dengan apa sahaja cara, asalkan dapat membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dari segi politik.

Pada program itu, Mohamed Azmin meminta rakyat memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN mentadbir negara.

Beliau berkata, Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada pada 16 Ogos 2021 disebabkan terdapat 15 anggota Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada kepimpinannya.

“Muhyiddin letak jawatan bukan disebabkan gagal tetapi kerana 15 anggota Parlimen UMNO yang menyokong kleptokrat dan menarik sokongan kepada PM.

“Walaupun Muhyiddin masih ada sokongan sebanyak 100 undi tetapi beliau tidak lagi mahu bekerjasama dengan golongan kleptokrat dan bersekongkol dengan perasuah. Itu adalah prinsip beliau,” ujarnya.