KOTA BHARU, 6 Nov – Bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 di kubu kuat UMNO tetap memberi kelebihan kepada dua calon Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi kawasan itu.

Dua calon PN, Senator Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mejar Jeneral (B) Datuk Klir Mohd Nor positif kubu kuat itu dapat dipecahkan berdasarkan situasi politik semasa selain isu rasuah dalam parti.

Wan Fayhsal yang diangkat BERSATU untuk calon Parlimen Machang, percaya isu rasuah kini antara perkara utama yang mengubah pemilihan pengundi.

“Undi anak muda juga dapat memberi peluang menembusi kubu kuat B).

“Mereka tidak buta dan saya yakin masalah rasuah juga antara isu utama yang menyebabkan anak muda kini boleh beralih arah,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Penerangan Pas negeri Kelantan pada Ahad.

Beliau turut memberitahu akan menerangkan perkara dan situasi berkaitan rasuah sebaik mungkin kepada pengundi.

Selain itu katanya, corak pengundi di Machang menunjukkan mereka menerima parti itu terutama anak muda.

“Sudah tiba masanya mereka memberi peluang kepada parti lain untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di Machang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Armada BERSATU Malaysia berkata, Kelantan sebelum ini dianaktirikan dalam konteks pekerjaan, ekonomi, kemudahan asas termasuk jalan raya dan internet.

Bagi bekas ketua perisikan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Klir pula merancang mendekati golongan tentera dan bekas tentera untuk membela nasib mereka.

“Belum pernah ada anggota tentera di negeri ini yang bertanding dalam pilihan raya dan saya akan pastikan mereka semua dalam agenda kami,” katanya.

Beliau turut menjadikan isu rasuah sebagai perkara utama dalam kempen kerana jenayah itu antara yang serius dalam negara.

“Membebaskan rasuah merupakan aku janji saya selepas bersara dan menceburi bidang politik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pencalonannya di Ketereh yang terkenal sebagai kawasan Anuar Musa, beliau memberitahu, perkara berkenaan tidak menjadi masalah kerana sudah lama mengenali Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

“Mungkin dia akan pangkah saya,” katanya.