KUANTAN, 6 Nov – Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan kesediaannya untuk berdebat pada bila-bila masa.

Beliau berkata, kesediaan itu disuarakan selepas mendengar desas-desus daripada pihak tertentu yang bercadang untuk menganjurkan debat antara tiga lagi calon di kerusi Parlimen Indera Mahkota.

Menurutnya, bagaimanapun jemputan secara rasmi berhubung perkara itu masih belum diterima lagi.

“Saya sudah ditanya oleh seseorang mengenai perkara ini (debat) dan sudah bersedia untuk menyertainya (debat).

“Saya juga dimaklumkan, kemungkinan ada penganjur yang akan datang bertemu dengan saya selepas ini.

“Saya diberitahu debat tersebut akan diadakan pada 15 November ini dan saya sudah mengosong jadual pada tarikh terbabit,” katanya ketika ditemui di Star City di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus untuk mengadakan debat antara calon-calon Parlimen Indera Mahkota.

Saifuddin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dicabar Datuk Quek Tai Seong daripada BN, Zuraidi Ismail (Pakatan Hadapan) dan Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang).

Mengulas lanjut, beliau menganggap perdebatan itu merupakan satu perkara yang mematangkan demokrasi negara.

Di samping itu, ia juga dilihat berupaya meningkatkan kemahiran dan kefahaman pengundi terhadap politik.

“Jika debat ini dapat diadakan, kita berharap ia dapat berjalan dengan lancar dan setiap calon dapat menyampaikan pandangan mereka dengan secara bernas.

“Ini peluang untuk pengundi melihat apakah tawaran yang disampaikan oleh calon-calon bertanding.

“Selepas itu, mereka boleh menilai siapa calon yang menawarkan sesuatu yang lebih rapat hati dan sanubari mereka,” ujar beliau lagi.

Ditanya adakah beliau bersedia jika tarikh debat itu diawalkan seperti dijadualkan, Saifuddin secara ringkas menjawab ya.

“Saya ok sahaja, tiada masalah jika ada tarikh lain yang difikirkan sesuai di mana sahaja di kawasan Parlimen Indera Mahkota dan saya bersedia untuk datang.

“Saya berharap kita dapat mengadakan diskusi yang segar untuk pengundi di Indera mahkota,” kata beliau.