SHAH ALAM, 6 Nov – Dr Afif Bahardin menafikan beliau pernah melompat daripada PKR untuk kekal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Afif yang juga Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Shah Alam berkata, beliau sebaliknya telah dipecat oleh PKR ekoran daripada pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti itu.

“Bila berlaku tahun 2020 (perubahan kerajaan), saya tidak terlibat. Malah saya hanya berada di Pulau Pinang sebagai ADUN meneruskan polisi dan dasar.

“Tapi saya dipanggil dan diminta untuk letak jawatan dan dipecat. Saya tidak pernah lompat, saya dipecat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk “YB boleh go ke? pada Ahad.

Dalam pada itu, Afif yang merupakan calon daripada Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, beliau tidak memperoleh sebarang keuntungan ekoran daripada peralihan tersebut dan hanya menjadi mangsa keadaan.

“Sebab itu pada akhirnya saya serah semula kepada pengundi di Seberang Jaya (ADUN) dan mereka menerima saya.

“Sehingga sekarang, Alhamdulillah orang di Shah Alam pun faham dan jelas. Mereka nak dengar apa yang ingin saya lakukan dan untuk warga Shah Alam dan apa yang saya nak buat untuk Malaysia pada masa akan datang,” ujar beliau.

Pada masa sama, Afif berkata, pada PRU15 kali ini, PN di peringkat nasional menawarkan kepimpinan yang bersih, stabil dan berintegriti kepada pengundi di dalam negara selain memfokuskan penyelesaian masalah semasa dihadapi rakyat.

“Saya sendiri secara peribadi pula akan meneruskan komitmen janji saya bukan sahaja untuk menyelesaikan kebajikan rakyat, tapi juga menyediakan dasar yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai krisis ketika ini,” jelas beliau.