MASJID TANAH, 6 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan beliau dihalang menyertai program bersama kariah di sebuah surau.

Mas Ermieyati berkata, kehadirannya di surau itu bukan bersifat politik, namun untuk memeriahkan aktiviti gotong-royong tersebut.

“Ini bukan program saya pun, saya cuma nak bersama. Bila kata tak boleh, saya dah sampai jadi saya pandang dari jauh,” katanya ketika di sini, pada Ahad.

Mas Ermieyati berkata, biarpun berdepan cabaran itu namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertemu pengundi tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Katanya, insiden itu disifatkan sebagai cabaran dalam politik terutama pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU sebelum itu mendedahkan kejadian itu menerusi sebuah hantaran di akaun Facebook rasminya.

“Saya dah sampai dah. Jadual sepatutnya saya bergotong royong dengan jemaah di sini pagi ni, telah dimaklumkan yang mereka tak dapat terima kehadiran saya atas sebab-sebab tertentu.

“Hmm… Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh,” tulisnya.

Tambah beliau, surau itu mengingatkannya ketika bersama-sama rakan-rakan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah membuat program di situ.

Malah ujar beliau, terdapat permintaan dari jemaah untuk menurap jalan menuju ke surau bagi kemudahan jemaah yang telah pun diluluskan pada waktu itu.

“Apapun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan,” tulisnya lagi.

PRU15 menyaksikan Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru termasuk calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid, calon PH, Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.