KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mempersoalkan bagaimana calon Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mempunyai pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd (Invoke) walaupun syarikat itu mengalami kerugian.

Abdul Latif berkata walaupun syarikat itu mengalami kerugian RM4.7 juta pada Disember lalu, namun dalam pengisytiharan dikeluarkan Timbalan Presiden PKR itu menunjukkan sehingga 31 Oktober lalu nilai sahamnya melonjak kepada RM17 juta.

“Demi ketelusan, yang sering disebut oleh Rafizi, rakyat berhak mengetahui apakah yang menyebabkan kenaikan nilai yang begitu mendadak? Adakah Rafizi bersedia mendedahkan dengan segera kontrak atau sumber pendapatan yang didapati oleh Invoke dalam 2022 sehingga membawa kepada kenaikan nilai yang begitu besar.

“Saya menyeru Rafizi menerbitkan senarai penuh butiran berkenaan secara jujur dan telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Rafizi berkata pengisytiharan harta itu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata pada 2017 Rafizi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saham dalam Invoke akan diagihkan kepada kakitangan Invoke yang berkorban selama ini bagi menjawab persoalan Rizal Mansor sama duit yang diperoleh itu dimasukkan dalam poket beliau sendiri.

“Bagaimanapun, selepas meneliti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang terbaharu, saya mendapati hanya 14 pemegang saham dalam syarikat berkenaan.

“Rafizi memegang sebanyak 73 peratus atau ‘lion share’ daripada jumlah keseluruhan saham syarikat berkenaan dan pemegang kedua terbesar adalah taikun perniagaan dikenali sebagai Lee Choo Boo yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Itramas Corporation dan ketiga adalah Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.

“Lain pemegang saham adalah Ahli Parlimen PKR, Akmal Nasrullah dan Onn Abu Bakar. Selain daripada itu adalah daripada syarikat kejuruteraan dan seorang warga asing bernama Hassan Mia Sonday,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Latiff berkata dengan nama pemegang saham yang dinyatakan itu beliau mempersoalkan Rafizi di mana janji yang dibuat lima tahun lalu bagi mengagihkan saham berkenaan kepada kakitangan syarikat terbabit.

“Perlu diingatkan bahawa pada 2017 juga, beliau menyatakan terdapat hampir 80 kakitangan di dalam Invoke, adakah Rafizi tidak mahu berkongsi kekayaan berjuta itu melalui saham Invoke dengan rakyat marhaen yang ‘berkorban’ untuk beliau menjayakan Invoke,” katanya.

Abdul Latiff berkata, berikutan itu beliau mahu Rafizi menjawab jika kekayaan berjumlah RM17 juta yang diperolehi melalui Invoke akan digunakan untuk manfaat rakyat biasa, memandangkan sokongan termasuk dana diberikan oleh rakyat biasa inilah yang menyokong untuk pilihan raya yang adil.