PAGOH, 7 Nov – BERSATU yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dengan mudah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) susulan populariti kerajaan ketika ini sangat rendah, ditambah sentimen terhadap pemimpin Umno yang terkait kluster mahkamah.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata malah BN dijangka hilang banyak kerusi Parlimen dalam usaha gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan.

“Saya cukup yakin, sebetulnya Perikatan Nasional (PN) lebih popular kerana ketelusannya, integritinya dan keupayaan mentadbir sewaktu negara dilanda Covid-19.

“Masyarakat menilai. Sebetulnya PN tetap terbaik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN boleh menang selesa pada PRU15 seperti dilakukan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Sahruddin berkata, BN ketika ini juga berdepan pelbagai isu seperti kepimpinan dan pentadbiran dalam menghadapi PRU15.

Sahruddin yakin kerusi kubu kuat Umno semasa PRU14 akan berjaya dirampas PN berikutan sokongan Melayu semakin meningkat.

Beliau mendakwa, kecenderungan pengundi Melayu memilih PN sangat tinggi berikutan jasa dan bantuan oleh pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

“Antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda. Mereka lihat yang menyelamatkan dan membantu mereka adalah PN.

“Apa lagi pengundi dan masyarakat Felda. Begitu juga masyarakat Melayu dengan kecenderungan mereka melihat Muhyiddin bersih, berintegriti, amanah dan jujur jika dibandingkan dengan pemimpin parti lain,” katanya.

Sementara itu, Sahruddin berkata PRU15 dan PRN Johor adalah berbeza dan terdapat banyak faktor yang memenangkan BN sebelum ini.

Katanya, antaranya adalah ramai jentera daripada parti BN turun ke Johor untuk menguatkan jentera masing-masing selain jumlah yang keluar mengundi tidak terlalu ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata di kedua-dua PRN iaitu Johor dan Melaka, Bersatu melihat terdapat peningkatan signifikan masyarakat untuk mengundi PN.

“Harus diingat kedua-dua negeri ini bubar DUN sewaktu kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob. Umno itu sendiri.

“Sebetulnya Umno ini menyebabkan kerajaan negeri, pusat jadi tidak stabil dan sangat mengganggu pentadbiran kerajaan yang ada,” katanya.

Bekas menteri besar Johor itu turut menyasarkan kerusi utama perlu dimenangi pada PRU15 adalah Parlimen Muar, Pagoh, Mersing dan Batu Pahat.

Dalam perkembangan lain, Sahruddin berkata kehadiran PAS dalam PN bukan liabiliti kepada gabungan itu.

Beliau berkata, PAS merupakan parti sederhana dan ini perlu diterangkan kepada masyarakat bukan Melayu.

“PAS telah memerintah Kelantan 32 tahun dan saya dimaklumkan PAS paling kurang amalan rasuahnya. Sebetulnya mereka tidak faham, jadi tanggungjawab sebagai ahli parti adalah menerangkan kepada pengundi bukan Melayu untuk tidak takut dengan PAS,” katanya.