BAGAN SERAI, 7 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat berhubung isu beberapa orang calon dari parti yang bertanding mengunakan gelaran ‘doktor’ dalam profile calon mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, penggunaan gelaran doktor tanpa sijil Doktor Bertauliah dari Malaysia Medical Board (MMC) adalah kesalahan dan boleh diambil tindakan.

“Individu yang tidak melengkapkan pengajiannya dan menyelesaikan latihan amali mengikut yang ditetapkan serta tiada kelulusan dari MMC maka ianya jadi satu kesalahan dan dia tidak boleh gunakan gelaran itu.

“Tindakan individu sebenarnya secara tidak langsung mencemari gelaran doktor di seluruh negara,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Matang Gerdu di sini, petang tadi.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu juga menyebabkan rakyat menjadi sangsi dengan semua individu yang mendapat gelaran doktor.

“Kalau tiada kelulusan yang sebenar, jangan perdaya orang ramai dengan menggunakan gelaran itu, terutamanya calon yang bertanding, jangan tipu rakyat,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping poster biodata calon yang bertanding daripada dua parti yang terkenal yang menggunakan gelaran itu hingga menyebabkan keraguan dan mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai.