SANDAKAN, 7 Nov – Tindakan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahan kerusi Parlimen Beluran tidak memberi impak terhadap kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, secara teknikal, tiada pertindihan kerusi antara GRS dan BN, justeru kesepakatan dua gabungan parti itu dalam kerajaan negeri kekal utuh.

“Bagi (isu berhubung tindakan) Datuk Seri Ronald, kita menghormati apa yang beliau lakukan tetapi kalau kita lihat dalam konteks yang besar, kedudukan kerajaan (negeri) makin lama, makin utuh disebabkan tidak ada pelanggaran satu pun kerusi di antara GRS dan BN.

“Bagi kami, perkara ini bukanlah satu perkara yang besar… tiada perbincangan diperlukan dalam GRS mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup program perkhemahan pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura 2 di sini pada Ahad.

Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Ronald, Benedict Asmat (BN-UMNO)), Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (GTA-Pejuang) dan Felix Joseph Saang (PH-UPKO).

GRS dianggotai BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama dengan BN bagi mentadbir negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal pada 15 November.