SHAH ALAM, 7 Nov – Perikatan Nasional (PN) akan mengisytiharkan cuti umum pada 20 dan 21 November ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran tambahan itu bagi membolehkan pengundi luar kawasan pulang ke tempat bermastautin tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin.

Beliau menjelaskan, cuti umum berkenaan tertakluk kepada cuti hujung minggu yang berlainan mengikut negeri masing-masing.

“Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain dari tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu, 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad (20 November) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, manakala hari Isnin (21 November) bagi negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran PN (PN BEST) pada Ahad.

PN BEST bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran yang digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU optimis kesemua tawaran dinyatakan dalam PN BEST boleh dilaksanakan oleh gabungan itu apabila menjadi kerajaan kelak.

Justeru beliau memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam tawaran tersebut.

“Saya ingin tegaskan bahawa tawaran PN ini boleh dilaksanakan. Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin kesemua tawaran dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan menerusi sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

“Kami juga memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh PN,” katanya.