SHAH ALAM, 7 Nov – Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ atau PN Best itu juga turut menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Jelas Muhyiddin, tunjang lain yang digariskan adalah mensejahterakan bumiputera, orang asli sn semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.

Turut ditawarkan adalah memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda, mengoptimumkan potensi wanita dan membina warga emas yang sejahtera.

“Selain itu, memperkasakan orang kelainan upaya (OKU), memperkasakan generasi felda dan mentransformasi, petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

“Ini adalah tawaran-tawaran utama PN. Tawaran lengkap yang mengandungi semua inisiatif yang akan dilaksanakan terkandung di dalam dokumen Tawaran Perikatan Nasional PN BEST,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran PRU15 PN di sini pada Ahad.

Tambah calon Parlimen Pagoh itu lagi, kesemua kandungan itu disusun Jawatankuasa Tawaran PN yang dipengerusikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Jelasnya, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

“Di peringkat awal penggubalan tawaran ini, saya telah memberi mandat kepada Jawatankuasa Tawaran supaya terlebih dahulu meneliti apakah keperluan-keperluan utama rakyat yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum nanti.

“Melalui kajian-kajian yang saya sendiri teliti, keperluan utama rakyat adalah tidak lain dan tidak bukan menyentuh tentang isu ‘bread and butter’ iaitu isu-isu ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Menurut Presiden BERSATU itu lagi, 12 tunjang itu merupakan antara perkara pokok yang mesti diberikan perhatian utama oleh PN apabila mendapat mandat rakyat dalam PRU15.

“Saya ingin tegaskan bahawa Tawaran Perikatan Nasional ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan.

“Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta,” katanya.