KOTA KINABALU, 8 Nov – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seiring dengan amalan demokrasi di negara ini.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata ini termasuk keputusan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk bertanding mempertahan kerusi Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“GRS tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu bertanding pada PRU15 ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto PRU15 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

GRS dan Barisan Nasional (BN) meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Negeri Sabah pada PRU15 dengan pembahagian kerusi 13-12 namun Ronald bertindak mencalonkan dirinya mewakili PN di Parlimen Beluran yang diperuntuk kepada calon BN iaitu Benedict Asmat.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang dilaporkan berkata GRS tidak sepatutnya mengorbankan Parlimen Beluran ketika berunding dengan BN, Hajiji berkata itu adalah pendapat bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Keadaan politik di Sabah berlainan dan ada keunikan… kita olahkan politik di Sabah dengan cara kita di Sabah,” katanya.

Ronald, penyandang kerusi Parlimen Beluran selama lima penggal, berdepan saingan lima penjuru menentang Benedict, Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang mewakili Pakatan Harapan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal pada 15 November.