KUALA LUMPUR, 8 Nov – Tawaran Perikatan Nasional (PN) lebih menyeluruh dan seimbang berbanding manifesto Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata manifesto PN yang dibentangkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengambil kira segala aspek rakyat.

“Manifesto PN semalam seimbang kalau dibandingkan dengan PH kerana mengambil banyak aspek, terutamanya dengan masalah sosial pada masa kini.

“Dari segi pengkhususan, PN mengambil kira banyak faktor dan banyak penawaran (234 tawaran), kerana mereka sebahagian daripada kerajaan sebelum ini saya melihat fokus masalah rakyat itu lebih optimistik, realistik dan rasional, ada beberapa pendekatan PH yang melibatkan perkara-perkara yang remeh-temeh” katanya kepada SatuBerita, pada Isnin.

Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menekankan golongan B40 bakal menikmati kelebihan terbanyak diikuti golongan belia dengan tawaran seperti wawasan FELDA baharu.

“Saya nampak golongan B40 bakal dapat paling banyak manfaat, diikuti warga belia termasuk pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Keutamaan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan penduduk-penduduk. Malah, Muhyiddin beritahu beliau akan pertimbangkan kawalan KWSP secara bersasar,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Agil percaya manifesto tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya tidak kira mana-mana parti politik kerana bergantung kepada isu semasa, namun pembentangan 234 tawaran PN lebih realistik.

“Berdasarkan manifesto, lebih 40 peratus ke 50 peratus boleh dicapai, manakala selebihnya bergantung kepada isu semasa terutamanya kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan.

“Saya nampak manifesto PN rasional sebab mengambil faktor semua kelompok dan nampak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat,” jelasnya.

Dalam pembentangan semalam, Muhyiddin menjelaskan Tawaran PN-BEST mengandungi 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Antara komponen penting dalam tawaran manifesto PN termasuk moratorium pinjaman PMKS kepada peniaga kecil, 1 juta pekerjaan berpendapatan tinggi, bantuan awal pengajian IPT bernilai RM1,000 dan diskaun 25 peratus bayaran balik PTPTN kepada graduan kelas kedua atas.