PUTRAJAYA, 8 Nov – Hujan renyai tidak menghalang kerancakan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen ini hinggakan tiga daripada enam calon bertanding tiba-tiba bertembung tanpa dirancang hari ini.

Selain penyandang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), dua lagi calon adalah Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dari Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Mohd Rosli Ramli dari PEJUANG.

Ketiga-tiga mereka bertembung ketika masing-masing turun menyapa rakyat di Pasar Malam Presint 2, di sini, yang disifatkan antara lokasi terbaik untuk turun bertemu rakyat khususnya pengundi bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Menariknya, ketiga-tiga mereka tidak sedikit kekok walaupun bertemu pihak lawan, sebaliknya masing-masing menunjukkan sikap ‘gentleman’ hinggakan sudi bergambar bersama walaupun dalam keadaan hujan renyai.

Meskipun ideologi dan fahaman politik berbeza, mereka kelihatan profesional apabila bertemu dan bersalaman, malah saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Radzi menyatakan beliau ingin mengekalkan momentum bertemu penduduk di Putrajaya sehingga hari mengundi.

“Alhamdulilah sambutan cukup baik dan kita berkempen dalam suasana harmoni dan tertib,” katanya.