PUTRAJAYA, 9 Nov – “Dia tidak baca manifesto, saya gesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bacalah dulu baru komen,” kata Naib Presid, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Putrajaya itu berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang menempelak cadangan PN untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika berjaya membentuk kerajaan.

Radzi berkata, tawaran itu tidak terkandung dalam manifesto Tawaran PN Best sebaliknya dijawab Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi dialog awam (Townhall) selepas pelancaran manifesto berkenaan.

“Ini (pengeluaran KWSP) tidak ada dalam tawaran PN, perkara itu ketika ditanya pada sesi itu apakah akan dipertimbangkan, jadi Tan Sri Muhyiddin jawab sekiranya terdapat keperluan mengambil kira keadaan, masa dan syarat tertentu, perkara ini boleh dilihat,” katanya ketika ditemui pada program mendekati pengundi di Pasar Malam Presint 2 di sini hari ini.

Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PN Best, berkata Anwar wajar meneliti dahulu manifesto lawan sebelum memberi pandangannya.

“Itu sahaja konteksnya, jangan ambil atas sahaja, ia ditanya ketika sesi Townhall PN, kami sahaja yang berani buat Townhall.

“Jadi saya harap pihak media boleh bantu secara jelas, kita ini bila nak buat sesuatu kita ambil pelbagai aspek dan terbuka untuk menerima pandangan,” katanya.

Semalam Anwar berkata, PN disifatkan ketandusan modal berkempen sehingga sanggup menekan rakyat dengan cadangan berkenaan.

Beliau berkata, tawaran PN itu dilihat jelas cuba menekan rakyat yang ketika ini terhimpit akibat kemelesetan ekonomi hingga menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan.