KUALA LUMPUR, 9 Nov – Dakwaan berterusan terhadap Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berhubung isu perolehan syarikat yang terlibat dengan Self-Propelled Howitzer (SPH) dilihat sebagai usaha menimbulkan persepsi negatif bagi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ikmal Hisham berkata, tindakan dibuat Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli itu bertujuan untuk mempengaruhi undi rakyat.

Beliau berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rafizi bertarikh 7 November 2022 sekali lagi telah memetik namanya dengan tohmahan perbekalan aset untuk Kementerian Pertahanan.

“Untuk makluman, perkara ini bukanlah pertama kali disentuh oleh Rafizi, malah satu laporan polis telah dibuat terhadap beliau pada 7 Oktober lalu berkenaan kenyataan fitnah berhubung perkara sama.

“Jika dilihat kepada momentum tersebut, mudah untuk kita fahami Rafizi cuba menimbulkan persepsi negatif kepada calon PN dengan saya dijadikan sasaran bagi tujuan mempengaruhi undi rakyat.

“Percayalah, rakyat Malaysia tidak gemar kepada politik benci-membenci apatah lagi fitnah yang amat jijik berdasarkan imaginasi dan rekaan Rafizi sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, selepas fitnah yang dikeluarkan Rafizi sebelum ini, beliau telah membuat laporan polis menafikan penglibatannya dengan syarikat yang terlibat dengan SPH untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ujarnya, perolehan SPH merupakan salah satu daripada pelbagai perolehan perbekalan atau aset yang diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan memantapkan pertahanan negara.

“Memandangkan nilai perolehan tersebut agak besar, maka adalah menarik untuk kaitkan ahli politik dengan perolehan ini bagi memberi gambaran buruk kepada masyarakat.

“Ia sangat menyedihkan apabila dengan mudah Rafizi membuat tanggapan saya amat berkuasa untuk mempengaruhi sesuatu perolehan di Kementerian Pertahanan, seolah-olah pegawai di kementerian dan ATM membuat kerja secara semberono sahaja tanpa perlu mengikut peraturan sedia ada,” jelasnya.

Beliau berkata, kenyataan fitnah seperti itu merupakan penghinaan bagi pegawai-pegawai kerajaan yang telah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa berusaha bagi memastikan kesiagaan pertahanan negara berada dalam tahap tertinggi.

“Semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat dan dipersetujui terlebih dahulu oleh ‘end-user’ iaitu TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Tiada sesiapapun yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan ‘end-user’ dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara,” ujarnya.