PAGOH, 9 Nov – Isu Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, yang tergendala akibat masalah pemanduan automatik perlu diselesaikan secepat mungkin.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu tidak boleh dilengah-lengahkan oleh kerajaan dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan segera oleh kementerian berkaitan kerana ia memberi kesan kepada rakyat.

“Saya tak perlu mengajar tentang hal itu. Saya baca berita itu cukup menyedihkan kerana beberapa hari LRT tidak bergerak menyebabkan banyak komuter tidak dapat digunakan dan banyak masalah berlaku.

“Walaupun ketika ini negara dipimpin oleh kerajaan sementara, tanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Ia perlu mengambil kira apa punca ia berlaku dan berapa cepat boleh ditangani bagi menyelesaikan masalah pengangkutan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Sembang Santai Bersama Penduduk di Kampung Panjang Sari, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, masalah itu menyebabkan ramai pengguna terkesan berikutan LRT adalah sistem pengangkutan yang agak penting di kawasan Lembah Klang.

“Sepatutnya sudah ada perancangan awal kalau berlaku hal seperti ini. Apa perlu buat dengan cepat sebab sebelum ini pun, sudah pernah ada pengalaman insiden rempuhan LRT,” katanya.

Katanya, walaupun isu itu tidak membabitkan nyawa, kelewatan disebabkan oleh masalah teknikal tidak patut berlaku.

Semalam, LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan menyebabkan perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen Ampang Park diberhentikan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel, memaklumkan ia dibuat atas faktor keselamatan selepas berlalu gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) laluan Kelana Jaya, yang mula dikesan jam 3.03 petang.

Berikutan masalah itu, sebahagian perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, bermula hari ini.

Rapid KL dalam kenyataan menyebut, penggantungan operasi membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Ia membabitkan Stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asian Jaya,Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum dan KL Sentral.

Selain itu, Stesen LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.